Pembentukan Alam Semesta  

Pembentukan Alam Semesta
Oleh Kassim Bahali, Persatuan Falak Syar'i Malaysia
Guru Kanan Fizik MRSM Jasin Melaka

Proses Kejadian Alam Dari Pandangan Al-Quran

Proses kejadian alam ini satu persoalan yang menarik sejak dari zaman dahulu hingga ke hari ini. Manusia masih ingin mencari kepastian asal usul kejadian alam ini. Bagaimana proses kejadiannya. Bagaimana alam ini terjadi dan diciptakan. Manusia masih tercari-cari jawabannya.


--------------------------------------------------------------------------------

Manusia tidak jemu-jemu dengan segala usaha dan kemahiran yang ada untuk mencari jawapannya. Ahli-ahli sains hari ini dengan teknologi tinggi dan canggih masih terus berusaha untuk mencari rahsia kejadian alam ini. Dan siapakah yang menciptakannya?
Allah yang menciptakan alam ini tidak membiarkan manusia begitu saja dalam mencari jawapannya kerana Dia Maha Mengetahui akan kelemahan hambaNya. Oleh kerana itulah Allah telah memberitahu manusia sedikit jawapan bagaimana dan siapa yang menciptakan alam ini. Jawapan-Nya diterangkan di dalam al Quraan melalui RasulNya, Muhammad. Di dalam al Quraan yang suci Allah menyebutkan Dialah yang menciptakan alam semesta ini dengan kekuasaan dan kehendakNya.


FirmanNya yang bermaksud:
"Dan Dialah menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataanNya diwaktu Dia menyatakan, Jadilah lalu terjadilah', dan di tanganNyalah segala kekuasaaan diwaktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui" al Anaam: 73
Allah telah menciptakan langit dan bumi ini melalui proses-proses yang dikehendakiNya. Sebahagian daripada proses-proses kejadian alam ini telah diterangkan oleh Allah dengan jelas di dalam al Quran. Allah telah menerangkan bahawa kejadian langit dan bumi ini asalnya daripada satu yang padu, kemudian dipisahkan menjadi langit dan bumi.


Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apakah orang-orang kafir, tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan kedua-duanya. Dan daripada air Kami jadikan segala suatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?


Ayat ini menerangkan asal kejadian alam semesta, terdapat tiga maklumat penting yang terkandung di dalam ayat ini berkaitan dengan kejadian alam semesta (Dr.Zakaria Awang Soh,1990)
~ Bahan yang membentuk alam semesta ini merupakan satu entiti (suatu yang wujud) tunggal.
~ Keseluruhan alam semesta, langit dan bumi adalah tercantum dalam satu unit.
~ pemisahan berlaku secara sistematik untuk menghasilkan hukum-hukum fizikal dan peningkatan jirim (ordering matter)
Perkataan "ratq" membawa maksud memadukan unsur-unsur menjadi satu jasad yang padu. Jasad yang padu inilah yang menjadi asal mula alam. Perkataan "fatq" membawa maksud dipisahkan atau dipecahkan. Jasad yang padu tadi kemudiannya melalui proses pemisahan. Bagaimana proses pemisahan itu tidak dapat dijelaskan. Jika dilihat kepada alam semesta yang wujud hari ini menggambarkan proses pemisahan ini berlaku dalam satu kuasa pemisahan yang sungguh hebat dan amat kuat.


Proses pembentukan alam ini berlaku secara bertahap-tahap selepas dari pemisahan itu. Hal ini seperti yang disebut di dalam alQuraan yang bermaksud;
"Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap lalu Dia berkata kepadaNya dan bumi, Datanglah kamu keduanya menurut perintahKu dengan suka hati atau terpaksa keduanya menjawab 'kami datang dengan suka hati' Maka Dia menjadikan tujuh langit dalam masa dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan kami hiasi langit yang dekat dengan bintang yang cemerlang dan Kami perliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." Fushilat : 11-12
Seluruh proses kejadian alam ini berlaku secara sistematik dengan ukuran yang rapi dan tepat seperti yang disebut di dalam alQuraan
"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)." AlQamar :49


Manakala alam semesta yang diciptakan oleh Allah ini sentiasa mengembang atau keluasan alam ini sentiasa bertambah dari masa kesemasa. Ini bermaksud segala apa yang ada di alam ini sentisa bertambah terhadap masa.


FirmanNya bermaksud:
"Dengan kemahiran dan kekuasaan Kami, Kami bangunkan langit dan Kami kembangkannya" Azariat : 47


Teori pembentukan alam semesta


Manusia sejak dari dahulu tertanya-tanya bagaimana laam ini terbentuk. Bagaimana asal pembentukannya. Persoalan ini menjadi perdebatan dan perbincangan hangat ahli-ahli sains. Jawapan yang tepat masih lagi satu rahsia yang sedang dicari-cari oleh ahli sains hari ini. Di antara usaha terbaru ialah dengan menghantar teleskop Hubble ke angaksa lepas. Berbagai pendapat dan teori dikeluarkan untuk menjawap persoalan tersebut. Terdapat tiga teori yang terkenal mengenai pembentukan alam semesta.


Beberapa konsep kosmologi telah dikemukakan oleh beberapa tokoh astronomi lampau diantaranya
1. Konsep Geosentrik iaitu konsep bumi sebagai pusat alam dimana semua benda-benda langit bergerak mengelilinginya. Konsep ini dikemukan oleh Claudius Ptolemy (126-161M).
2. Konsep Heliocentric mengatakan matahari sebagai pusat alam dikelilingi oleh bumi dan planet-planet lain. Teori ini dikemukan oleh Nicolaus Copernicus (1478-1543M). Beliau menerangkan teorinya ini dalam bukunya " De Revolutionibus Orbium Coelestium" ( On the revolution of the celestial sphere).


Tetapi teori yang dikemukan di atas telah ditolak apabila penemuan baru tentang alam semesta ini ditemui. Muncullah beberapa teori moden yang menerangkan permulaan dan perkembangan alam.
1. Teori alam semesta berevolusi
2. Teori keadaan mantap
3. Teori letupan besar


1. Teori alam semesta berevolusi


Teori ini dikemukan oleh Friedman (1924) dari Rusia. Mengikut teori ini alam ini bermula dari satu letupan yang amat dahsyat. Awan gas yang terhasil dari letupan mengembang keluar selama berbilion tahun kemudian mengalami proses pengecutan menjadi galaksi dan bintang . Mengikut teori ini akibat daya tarikan graviti di antara galaksi-galaksi menyebabkan pengembangan keluar menjadi semakin perlahan dan akhirnya berhenti.


Ini menyebabkan ia mengecut ke dalam dan galaksi-galaksi akan bertemu dan bersatu menjadi satu yang padu seperti asal berbilion tahun yang lalu. Akibat dari pemampatan yang terlalu kuat akhirnya mengakibatkan satu letupan yang dahsyat seperti sebelum ini dan proses yang sama akan berulang semula. Mengikut teori ini tidak ada permulaan yang sebenar dan proses ini tidak berhenti berulang dan akan terus berulang. Mengikut teori ini juga alam semesta tidak statik tetapi berevolusi iaitu keluasan alam bertambah atau berkurangan terhadap dimensi masa. Alam yang sedang kita diami sekarang masih mengembang.


2. Teori keadaan mantap


Mengikut teori (oleh Bondi dan Gold) ini alam tidak bermula dengan letupan. Teori ini juga menerangkan bentuk alam adalah sama jika dari mana-mana arah dan juga pada bila-bila masa iaitu bilion tahun dahulu atau akan datang bentuk alam sama seperti yang kita lihat sekarang.
Berdasarkan teori ini proses pembentukan atom yang baru terus berlaku setiap masa.


Galaksi terbentuk daripada atom-atom yang bentuk. Galaksi yang baru akan terbentuk menggantikan galaksi-galaksi lama yang bergerak keluar. Galaksi-galaksi baru terbentuk semasa alam mengembang.
Atom-atom hidrogen terbentuk secara sepontan di ruang-ruang antara galaksi-galaksi. Walaupun mengikut teori ini alam mengembang tetapi oleh kerana jumlah bahan atau nisbah adalah sama, maka ketumpatan jasad di alam ini tidak berubah. Umur alam adalah infiniti dan tiada permulaan dan akhirnya mengikut teori ini.


3. Teori letupan besar


Teori ini dikemukan oleh ahli astronomi Belgium, Abbe Lemaitre(1920an). Teori ini telah mendapat perhatian dan diterima oleh kebanyakan ahli sains.Teori ini mengandaikan pada asalnya semua jisim dan tenaga adalah satu yang padu dengan ketumpatan yang sangat tinggi pada satu titik. Pada keadaan ini suhu dan jisim bahan tersebut sangat tinggi manakala jejari bahan tersebut sangat kecil dan menghampiri sifar. Semua bahan tertumpu ke satu titik, keadaan ini dinamakan primreview atom. Primreview atom mempunyai ketumpatan, suhu dan jisim infiniti manakala isipadunya hampir sifar, keadaan atom ini dinamakan 'ketunggalan' (singulariti) satu keadaan yang tidak dapat diterangkan oleh hukum-hukum fizik.


Kira-kira 15 billion tahun lalu atom primreview ini mengalami satu letupan yang sangat kuat dan dahsyat kemudian ia berpecah dan mengembang ke semua arah. Ketika letupan berlaku sebahagian tenaga ditukar kepada jisim. Suhu letupan sangat tinggi dan selepas letupan terbentuk foton, elektron, positron, nutrino, antinutrino, proton dan neutron. Semua zarah-zarah ini bergerak keluar. Pada masa 105 tahun selepas letupan proton menarik elektron mengorbitnya dan membentuk atom hidrogen.


Akibat dari daya tarikan graviti di antara jisim, berlaku pemampatan jisim dan berlakulah permulaan proses pembentukan galaksi. Didalam galaksi itu kemudiannya berlaku proses pembentukan bintang.


Pada 1989 satu teori baru tentang kejadian awal semesta dikemukakan oleh Hans-Joachim Blome dari Institute of Theoretical Physics di University of Colonge dan Wolfang Priester dari "Institue of Astrophyics and Extraterrestial Research" di University of Bonn.


Teori yang dikemukakan ini dinamakan "Teori Lantunan Besar". Teori ini mengemukakan ruang dan masa tiada permulaan. Ruang pada mulanya tidak mengandungi sebarang jirim memang sedia ada. Menurut mereka ruang ini mengecut kepada suatu keadaan yang tidak dapat dikecutkan lagi dan ruang tersebut tidak pula hilang terus dalam proses pengecutan. Ruang kosong ini mengecut tetapi tidak hilang. Dari keadaan kecut yang paling kecil inilah ruang tersebut melantun semula ibarat bola getah yang dipamkan angin dan terus mengembang. Mengikut teori ini pada peringkat permulaan satu fasa tranformasi muncul.


Peringkat ini menghasilkan jirim asal bagi pembentukan segala jasad yang ada di alam ini. Berdasarkan kepada persamaan tenaga - jism Einstien ( E = mc2 ) pada peringkat awal ini paras tenaga adalah amat tinggi memenuhi ruang alam dalam bentuk jisim kosmos yang nampak dan tidak nampak telah wujud sebelum lantunan besar ini. Maka ruang asal-mula alam ini tidak kosong tetapi dipenuhi tenaga tanpa jisim (matterless energy).


Perbezaan antara teori letupan besar dan lantunan besar ialah dari segi asal-mula kejadian. Teori letupan besar mengemukakan alam bermula dengan Letupan manakala teori lantunan bermula dengan lantuan. Kedua-duanya mengatakan ruang memang sedia wujud dan terdapat tenaga yang sangat kuat. Ia sedia ada dan tiada permulaan sebelumnya.(hb)

Bookmark this post:
Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google

0 komentar

Posting Komentar